Akhbar
memainkan peranan penting dalam kebangkitan nasionalisme. Penulis akhbar di
tanah melayu pada masa itu telah mengkritik dasar British yang menekan orang
melayu. Persoalan tentang pendidikan,ekonomi dan politik telah dibangkitkan di
dalam akhbar. Isu-isu yang dibangkitkan ialah memajukan pendidikan orang melayu
dan memartabatkan bahasa melayu sebagai bahasa rasmi dalam urusan British. Dari
segi ekonomi,mereka meminta supaya British mengurangkan kadar kemasukan orang
dagang. Dari segi politik,mereka menyeru orang melayu bersatu dan mengkritik
British kerana mengurangkan kuasa raja-raja melayu. Antara lain,turut terdapat
tulisan Zaaba di dalam Al-Imam dan Mohd. Eunos Abdullah, yang menjadi
penyunting Utusan Melayu versi sisipan akhbar Inggeris ‘Free Press’.
Tulisan-tulisan itu membawa aliran menyeru orang Melayu supaya bersatu dan
membina jati diri masing-masing. Aliran itu cepat meninggalkan kesan di hati
umat Melayu yang sebelumnya terlowong kosong. Utusan Melayu versi sisipan itu
misalnya, dengan cepat menjadi bahan bacaan di kedai-kedai kopi, dan ianya
dibaca dengan kuat. Tujuannya tentulah supaya isi yang dibaca itu dapat
dikongsi oleh semua Melayu lain yang mendengarnya. Aliran kesedaran itu
bertapak semakin kukuh pada sekitar tahun 1930-an. Banyak tulisan-tulisan
Ibrahim Yaakob menyebut bahawa pada dekad itulah orang Melayu mula sedar akan
ancaman yang dibawa oleh pendatangpendatang asing terhadap hak mereka. Pada
waktu itu jugalah perasaan membenci pada orang asing mula bertunas. Hasil
daripada kesedaran itu muncullah seorang demi seorang nasionalis Melayu, yang
kebanyakannya terdiri daripada kalangan ulama dan mereka yang terlibat dalam
bidang persuratan dan persuratkhabaran. Melalui nasionalis-nasionalis awal ini
semangat kebangsaan mula tersebar. Melalui mereka Melayu mula sedar bahawa
mereka berada di suatu garisan yang menuntut kebangkitan segera. Waktu itu
mereka seakan tidak mempunyai pilihan lagi selain daripada bangun berdiri atau
terus lena dan dipijak lumat. Seruan-seruan yang mengajak Melayu bersatu muncul
dengan banyaknya. Pada 23 Julai 1906, akhbar al-Imam telah diterbitkan di
Singapura. Akhbar ini diterbitkan oleh golongan kaum muda yang dipimpin oleh
Syed Syeikh al- Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin, Syeikh Mohammad Salim al-Kalali
dan Haji Abbass Mohammad Taha. Akhbar ini diterbitkan dengan tujuan
menyampaikan pandangan dan fikiran baru mengenai agama Islam untuk kemajuan
masyarakat di samping membangkitkan kesedaran orang Melayu mengenai kemunduran
dan menggesa mereka supaya berusaha mencapai kemajuan sosial dan ekonomi.
Akhbar ini ditamatkan pada tahun 1908 selepas 31 keluaran bulanan. Seruannya
diteruskan oleh akhbar lain seperti Neracha, Tunas Melayu, al-Islam, al-Ikhwan
dan Pengasoh. Al-Ikhwan diterbitkan dan dikarang oleh Syed Syeikh al-Hadi
sendiri. Ia diterbitkan dari tahun 1926 hingga tahun 1931. Al-Ikhwan
benar-benar menyarankan pembaharuan agama Islam. Ia telah meneruskan perjuangan
al- Imam. Al-Ikhwan mempunyai banyak persamaan dengan al-Imam bukan sahaja
dalam cara penulisan dan isi kandungannya malah hingga menyiarkan beberapa
rencana yang pernah tersiar dalam al-Imam, seperti taksiran al-Quran dan
sejarah Islam. Saudara pula mula diterbitkan pada tahun 1928. Tokoh utama
akhbar ini ialah Syed Syeikh al-Hadi juga. Akhbar ini meneruskan seruan menyeru
rakyat memajukan diri. Majlis mula diterbitkan pada tahun 1935 dan tokoh utama
akhbar ini ialah Abdul Rahim Kajai. Akhbar ini merupakan akhbar kebangsaan yang
pertama dan kandungan akhbar ini ditujukan kepada desakan kepada Inggeris untuk
melindungi hak orang Melayu. Warta Malaya iaitu sebuah akhbar yang memberi
kesedaran kepada orang Melayu untuk maju dan ia mengecam dasar-dasar Inggeris
yang tidak memberi perhatian kepada kehidupan orang Melayu.
Selain itu,
pada tahun 1939, akhbar Utusan Melayu telah diterbitkan. Pengarang yang pertama
ialah Rahim Kajai dan pengarang yang terkemuka pula ialah Ishak Muhammad atau
dikenali sebagai Pak Sako. Akhbar ini menjadi lambang perpaduan dan kegigihan
orang Melayu. Bangsa Melayu diminta berusaha dengan gigih untuk kemajuan.
Penerbitan Utusan Melayu turut menerbitkan Utusan Zaman dan Mastika. Selain
itu, Warta Sarawak merupakan lambang kesedaran dan kebangkitan semangat
kebangsaan masyarakat Melayu di Sarawak . Antara lain akhbar ini mendesak
kerajaan supaya meningkatkan taraf pendidikan orang Melayu dan menyeru kepada
orang Melayu supaya tidak menjual tanah dan bergiat dalam bidang
perniagaan.Selain akhbar yang disebut, terdapat juga akhbar Warta Malaya
(1930), Majlis (1935), Fajar Sarawak Lembaga Malaya,Majlis dan sebagainya.
Syarikat-syarikat akhbar bagi menyebarkan berita dalam bahasa Melayu juga
ditubuhkan. Contohnya ialah Jawi Standard , Cahaya Pulau Pinang dan Tanjong
Penegeri yang diterbitkan pada 1900 di Pulau Pinang. Bagi Jawi Peranakan pada
tahun 1876 ialah Nujumu’l Fajar, Shamsu’l Kamar, Sekolah Melayu, Bintang Timor,
Warta Melayu di Singapura, Seri Perak dan Jajahan Melayu di Perak, Khizanah
Ilmu dan Taman Pengetahuan. Terdapat juga akhbar Orang Cina. Orang Cina
terbitkan akhbar sebelum Perang Dunia II. Antaranya akhbar Lat Pau, Nanyang
Siang Pau, Sin Chew Jit Poh dan Modern Daily News. Pada tahun 1881 akhbar Lat
Pau telah diterbitkan. Ianya melaporkan tentang kegiatan sosial dan ekonomi
orang Cina di Tanah Melayu. Ianya juga menyiarkan peristiwa yang berlaku di
negara China. Terdapat juga akhbar berbahasa Melayu yang diterbitkan oleh
masyarakat Cina Peranakan (Baba dan Nyonya). Antaranya akhbar Surat Khabar
Peranakan, Bintang Timor, Khabar Uchapan Baru dan Bintang Pra Pranakan. Pada
tahun 1884 akhbar Bintang Timor diterbitkan dan merupakan satu-satunya akhbar
berbahasa Melayu yang berani melaporkan berita pemberontakan Dato’ Bahaman di
Pahang.
Pada tahun
1930 diterbitkan akhbar Bintang Peranakan yang membicarakan hal ehwal
masyarakat Cina peranakan yang menunjukkan taat setia kepada British sebagai
pemerintah Tanah Melayu. Turut tidak ketinggalan ialah Akhbar Orang India .
Akhbar yang diterbitkan ialah akhbar Ulaga Nesan, Tamil Nesan dan Tamil Murasa.
Pada 24 September 1924 akhbar Tamil Nesan diterbitkan di Kuala Lumpur. Ianya
melaporkan berita tentang kegiatan social dan ekonomi orang India di Tanah
Melayu dan juga peristiwa yang berlaku di negara India. Terdapat juga akhbar
berbahasa Melayu diterbitkan oleh masyarakat Jawi Peranakan. Antaranya ialah
Jawi Peranakan, Sekola Melayu, Taman Pengetahuan dan Tanjung Penagri. Pada
tahun 1888 akhbar Sekolah Melayu diterbitkan dan dijadikan bahan rujukan di
sekolah Melayu.
Kesimpulannya,
akhbar memegang peranannya tersendiri dalam membangkitkan semangat nasionalisme
rakyat di Tanah Melayu. Penulis akhbar di tanah melayu pada masa itu telah
mengkritik dasar British yang menekan orang melayu. Persoalan tentang
pendidikan,ekonomi dan politik telah dibangkitkan di dalam akhbar. Oleh itu,
kebijaksanaan rakyat pada masa dahulu dengan menggunakan akhbar sebagai sumber
untuk membangkitkan semangat nasionalisme haruslah dikagumi dan dihargai.
PREPARED BY :: SITI NURHAFFIZAH BINTI GANTI
PREPARED BY :: SITI NURHAFFIZAH BINTI GANTI
No comments:
Post a Comment